Ackbal Abdul Samad

Gender
Male
Born
Unknown
Nationalities
Malaysia

Ackbal Bin Abdul Samad is the 19th Chief of the Royal Malaysian Airforce.


Membership and Posts

No known memberships


Family Relationships

Business and other Relationships


Biography

Jeneral Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM merupakan anak kelahiran negeri Johor Darul Takzim dan merupakan anak sulung daripada empat orang adik-beradik. Beliau merupakan bekas penuntut Cawangan Putera, Maktab Tentera Diraja dari tahun 1978 sehingga 1980. Di atas dorongan keluarga dan minat yang mendalam untuk menjadi seorang Juruterbang Pejuang, beliau telah memohon untuk menyertai perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia, Skim Tauliah Jangka Tetap pada tanggal 1 Jun 1980 di Cawangan Kadet, Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi.

 

Jeneral Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM telah menjalani Kursus Penerbangan Asas pada tahun 1983 di TUDM Alor Setar dan merupakan pengambilan pertama yang dilatih menggunakan pesawat Pilatus PC-7, sebelum ditukarkan ke TUDM Kuantan bagi mengikuti Kursus Penerbangan Peralihan Pejuang menggunakan pesawat Aermacchi MB-339A di Pusat Latihan Terbang III (PULATIBANG III). Di atas berkat kegigihan dan semangat yang kuat, beliau semasa di TUDM Alor Setar telah berjaya meraih kesemua piala-piala pusingan yang sedia ada ketika itu, seperti Piala Penerbangan Kajian Bawah Terbaik, Piala Juruterbang Terbaik dan Piala Penuntut Terbaik Keseluruhan. Usaha gigih ini telah diteruskan oleh beliau semasa di Kuantan di mana sekali lagi berjaya meraih Piala Penuntut Fighter Lead-In Terbaik ketika menjalani Kursus Penerbangan Peralihan Pejuang pada tahun 1984/1985.

 

Kerjaya awal beliau sebagai seorang Juruterbang Pejuang Operasi bermula dengan berkhidmat di No 9 dan 6 Skn, di mana beliau telah menerbangkan pesawat Skyhawk A4 PTM dan kemudiannya ke No 11 dan 12 Skn di TUDM Butterworth sebagai seorang Juruterbang Operasi pesawat F-5E. Aspirasi dan impiannya untuk terus maju sebagai seorang juruterbang yang professional terbukti sekali lagi apabila beliau telah lulus dan dianugerahkan sebagai Penuntut Terbaik Kursus Jurulatih Penerbangan di Institut Latihan Instruktur Terbang (ILIT), TUDM Alor Setar pada tahun 1990. Pada tahun 1992, di atas usaha gigih dan prestasi yang dipamerkan di sepanjang kerjaya, beliau telah dipilih oleh Panel Khas TUDM untuk mengikuti Kursus Juruterbang Penguji Pesawat (Test Pilot) di United Kingdom bagi sesi tahun 1993-1994. Semasa menjalani kursus tersebut, beliau telah menerbangkan pelbagai jenis pesawat/ simulasi (berjumlah 19 jenis) dan di antaranya termasuk pesawat pejuang Jaguar milik Royal Air Force, MiG-29N milik Zhukovsky Flight Test Centre-Russia, L39 Albatross milik Syarikat Aero-Vodocody di Republik Czech, Hawk T Mk-1 milik Empire Test Pilot School di UK, Lear Jet-Variable Stability Test Platform, BAE 146, SAAB 2000, King Air, Air Glider, pesawat Aerobatic Extra 300, simulasi pesawat Boeing 737-300, simulasi pesawat Airbus A320, simulasi Hawk 200 di Farnborough, simulasi Jaguar di Scotland, simulasi Eurofighter di BAE Warton, UK dan sebagainya.

Kerjaya selaku Juruterbang Penguji TUDM, telah memperlihatkan penglibatan beliau di dalam kerja-kerja penerbangan pengujian ke atas pesawat Hawk, Aermacchi, F-5E, Beechcraft B200T dan MiG-29N. Selain daripada itu, beliau juga terlibat di dalam kerja-kerja pembangunan simulator MiG-29N dari tahap penyediaan Air Staff Operational Requirement (ASOR) pada tahun 1994, rundingan kontrak, pengumpulan dan penjanaan data-data melalui penerbangan ujian pesawat MiG-29N sehinggalah kepada kerja-kerja penerimaan simulator tersebut pada tahun 1998. Dari tahun 1994, iaitu sekembalinya beliau dari Kursus Peralihan Penerbangan Pesawat MiG-29N di Rusia, sehingga ke tahun 1999, beliau telah ditugaskan untuk menubuh dan seterusnya menerajui No 19 Skn yang merupakan sebuah Skn Operasi pesawat MiG-29N.

 

Beliau telah banyak menimba pengalaman, baik dari segi pengurusan aset, anggota mahupun aktiviti-aktiviti operasi semasa berkhidmat di skuadron-skuadron operasi yang dinyatakan. Beliau berpengalaman dalam pelbagai operasi di sepanjang kerjayanya sebagai seorang Juruterbang Pejuang Operasi. Di antara pengalaman operasi yang pernah beliau lalui adalah Operasi Penerbangan Pemantauan Terumbu Layang-Layang, Operasi Pemintasan Pesawat Angkut Negara Rusia (Operasi ‘Zombies Watch’), Operasi Membanteras Pengganas Komunis melalui pengguguran bom di Sempadan Malaysia-Thailand, Operasi Pemantauan Selat Melaka dan sebagainya.

 

Selain daripada itu, beliau juga merupakan salah seorang daripada Ahli Tim Aerobatik pesawat MiG-29N pada Pertunjukan Udara LIMA pada tahun 1995 dan 1997 di mana beliau merupakan Juruterbang Solo Display di dalam pertunjukan tersebut. Beliau turut terlibat di dalam mengendalikan Operasi Plan Evakuasi “Operasi Pyramid” pada tahun 2011. Jeneral Tan Sri Ackbal turut terlibat semasa Ops Daulat yang menyaksikan TUDM melaksanakan air campaign untuk mendokong operasi pencerobohan oleh pengganas Sulu di Lahad Datu. Beliau juga turut diberi kepercayaan mengetuai Malaysia High Level Technical Group ke China semasa insiden kehilangan pesawat MH 370 pada 2014. Semasa menjawat jawatan Panglima Angkatan Bersama (2015/2016), Jen Tan Sri Ackbal juga telah berkesempatan melawat trup MALBATT 850 sebanyak dua kali di Lubnan bagi memastikan kesiagaan yang tertinggi pada sebilang masa.

 

Setelah lebih kurang 15 tahun bertugas secara aktif sebagai seorang juruterbang operasi, beliau kemudiannya telah diberi peluang oleh pucuk pimpinan TUDM untuk menerajui beberapa jawatan-jawatan pengurusan dan staf, baik di Markas Formasi mahupun di MTU dan di Kementerian Pertahanan. Di antara jawatan-jawatan yang pernah disandang oleh beliau adalah sebagai Pegawai Operasi di dalam Tim Projek Pesawat Pejuang Baru (PPPB)-MTU; Pegawai Staf 1 Keselamatan dan Piawaian, No 1 Div Udara, Pengarah Perancangan & Pembangunan (P&P), MTU; Pemangku AKS P&P; Pemangku Panglima 1 Div Udara; Komander Pangkalan Udara Kuantan, Panglima No 2 Div Udara, Panglima Logistik Udara dan Panglima No 1 Div Udara. Jen Tan Sri Ackbal telah dinaikkan ke pangkat Lt Jen TUDM pada usia 48 tahun dan menjawat jawatan sebagai Panglima Operasi Udara sebelum beliau menjawat jawatan sebagai Panglima Angkatan Bersama dan kembali menjawat jawatan Panglima Operasi Udara. Seterusnya, beliau dinaikkan ke jawatan Timbalan Panglima Tentera Udara pada tahun 2016. Pada tanggal 3 Januari 2020, beliau secara rasminya telah dilantik sebagai Panglima Tentera Udara Ke-19.

 

Di atas dedikasi, komitmen serta budaya kerja yang dipamerkan, beliau telah menerima Anugerah Khidmat Cemerlang (AKC) sebanyak tiga kali iaitu, pada tahun 1991 semasa beliau seorang Jurulatih Terbang berpangkat Kapten di TUDM Alor Setar, pada tahun 1997 selaku Pegawai Memerintah No 19 Skn, PU Kuantan dan pada tahun 2003 selaku Pengarah Bahagian Perancangan & Pembangunan di MTU. Selain daripada itu, beliau juga telah menerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Nasional daripada DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada tahun 2006. Di samping itu, beliau juga telah menerima beberapa Anugerah dan Bintang Kebesaran Peringkat Negeri dan juga Persekutuan sebagai penghargaan terhadap beliau kepada perkhidmatan, negara dan bangsa. Pingat-pingat yang dianugerahkan kepada beliau terdiri daripada pingat PJN, SSAP, SIMP, PSAT, DPKK, DSAP, DIMP, PAT, JSM, SAP, SMP, KAT, AMN dan AAP. Terkini, pada tanggal 17 Ogos 2020, beliau telah dikurniakan Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri.

 

Jen Tan Sri Ackbal telah mendirikan rumah tangga dengan Puan Sri Norainy binti Shahar Alam dan telah dikurniakan dengan empat orang cahaya mata yang terdiri daripada tiga orang lelaki dan seorang perempuan.


Notes

Picture and biography from MAFHQ



Subitems

Procurement

Infrastructure Projects

Cited on Issues

Subject has been cited for issues for the following known sources.

These are sources, and not weighted on strength to make a case for this subject. Please refer to editorial or enforcement guidelines.